Memilih tulis syurga atau neraka?

"Mata pena lebih tajam daripada mata pedang".



    Kata-kata hikmah ini sudah tidak asing dalam kehidupan kita seharian. Manusia mula berbicara dengan menggunakan simbol tulisan yang dimuntahkan dalam pelbagai medium.

Batu.

Daun pokok.

Kertas.

 

    Sejarah tentang tulisan dan simbol bahasa terlalu panjang untuk ditelusuri. Ada yang terbukti dengan kesan tinggalan manuskrip dan ada yang masih menjadi tinggalan misteri. Uniknya topik sejarah yang dapat mengaitkan dan membuka mata tentang perkembangan zaman serta teknologi dari yang mula dicipta hingga ke hari ini. 

    Persoalannya, mengapakah manusia masih memerlukan tulisan dalam perbicaraan? 

    Tidak cukupkah berbahasa dengan satu-satunya anggota badan yang tidak bertulang iaitu lidah?

Pasti ada yang menjawab: Logiklah..bagaimana dengan orang kelainan upaya seperti bisu dan pekak pula?. Benar. Tetapi jauh dari sudut itu, ada hikmah yang jauh lebih indah di sebalik rahsia tulisan ini. Jika diamati dari luaran sahaja sudah cukup menimbulkan tanda tanya kerana wujudnya pelbagai jenis simbol tulisan yang cukup berbeza di serata dunia.

 

Perang Maya

    Teringat semasa pengajian saya di Universiti, Pensyarah saya pernah menceritakan situasi ketika beliau berada di luar negara. Rakannya disana menghalang beliau untuk kembali pulang ke tanah air.

"Bukankah negara kamu akan berperang?".

Pensyarah saya segera memeriksa media sosial.

Ya, fahamlah beliau. Negara sedang perang. 

Perang Maya.

    Dunia hari ini menginginkan kepantasan. Semua mahu cepat. Kononnya maklumat di hujung jari lantas terhasillah lagak dan gaya yang tak logik dek warasnya akal. Bertambah pula dengan masyarakat "netizen" yang berkuasa menjatuhkan hukuman umpama 'langgar lari' pada setiap 'posting' di aplikasi Tik Tok, Instagram dan sebagainya. 

Warga emas.

Ibu Bapa.

Mahasiswa.

Remaja sekolah.

Guru.

Doktor.

 

   Tidak kira usia dan bangsa semuanya menjadi mangsa Internet moden tanpa disedari. Realiti ini hanya menghasilkan generasi yang meludah tanpa berfikir. Ikut perasaan dan tidak berfikir. Maka, lahirlah cakap dan sembang kosong yang jika dahulu hanya boleh didapati di kedai mamak. Bezanya hari ini kita tidak perlu keluar ke mana-mana, tetapi cukuplah sambil berbaring santai di rumah. 

    Berpuluh malahan beribu komen 'cakap kosong' yang ditambah lagi dengan perisa dan ajinomoto sehingga menimbulkan 'konfrontasi alam maya'. Perang mulut.

Bahasa Cermin Diri

    Tiada yang membezakan kita melainkan bahasa dan tulisan yang bermakna. Bahasa yang indah, dan lunak hakikatnya menggambarkan peribadi, keterampilan dan tahap pendidikan seseorang. Malahan, kategori pembacaan, minat dan kecenderungan seseorang juga dapat ditafsir melalui bicaranya. 

    Malah, terdapat hadis yang mengaitkan peribadi akhlak Muslim dengan lidahnya:

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA daripada Nabi SAW bersabda: "Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadith riwayat al-Bukhari,No. 10, 6484, Muslim, No. 40).


Bahaya tangan atau lidah?

    Jika dahulu, keburukan tangan hanyalah dari segi serangan fizikal dan luaran. Cubit, tumbuk, sepak dan membuang sampah di merata tempat. Hari ini, hikmah penulisan dirosakkan dengan cakap-cakap di media sosial. Gambaran emosi dilemparkan secara semberono. Tiada tapisan malu, logik akal apatah lagi iman bagi seorang Muslim.  

    Lidah sudah selamat daripada penat berkata-kata. Lantas, tangan yang mengambil alih tugas itu. 

    Jika dahulu, yang menulis itu cuma cerdik pandai, ulama dan golongan profesional. Dengan bahasa yang indah dan terjaga daripada sebarang cemuhan demi menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Hari ini, sedari kanak-kanak sekolah rendah sehingga warga emas yang terlantar dapat menulis. Sama ada dengan autoriti ataupun tidak, masyarakat bebas menyatakan pendapat masing-masing. Jika dikatakan A, dipusingnya ke B hingga ke Z. 

 Pening.

Tepuk dada, tanya iman..

    Menulis boleh membawa ke syurga atau menghumban seseorang ke neraka. Jika pilihan pertama yang dipilih, maka bergembiralah sang penulis. Betapa ramai ulama yang telah lama pergi ke alam abadi, namun tulisannya masih kekal menjadi rujukan dan perbahasan para cendekiawan. 

Ibnu Sina yang menulis kitab  'Al Qanun Fi At-Tib' terus mempelopori bidang perubatan di seluruh dunia dan telah diterjemahkan ke lebih 15 bahasa.

Hassan Al- Banna, pelopor gerakan pembaharuan di Mesir dan tulisannya masih menjadi rujukan bagi gerakan Islam di serata dunia.

.. dan ramai lagi.

Semoga mereka semua dikurniakan keampunan, pahala yang berterusan dan syurgaNya.

 Penyelesaian?

     Hakikatnya era 2021 ini merupakan era ledakan dunia digital dan Internet. Lantas, tiada siapa dapat menghalang masyarakat daripada mengakses kemudahan teknologi ini. 

     Noktahnya, walau apa jua keadaan dan perubahan era yang berlaku, kembalilah kepada fitrah. Fitrah yang berakhlak. Di mana ingin disemai akhlak? Akhlak yang baik itu terhasil daripada nilai bacaan, pemahaman dan praktikal yang berterusan. Sedari kecil hingga ke liang lahad.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ibrahim (14: 24-25) :


"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit."


"Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)."

    Apabila menyentuh soal ini, terlalu banyak isu dan topik yang harus diperkatakan.

Maka, diam itu lebih baik ketika tidak tahu atau tahu!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Saksikanlah cinta ini!

Because I am Israel?

Solidariti buat Sang Pejuang